Mengapa darah berwarna merah?
dan
Apa yang ada dalam darah anda?
Darah sebenarnya terdiri daripada 4 jenis bahan iaitu sel darah merah, sel darah putih, platlet dan plasma. Darah berwarna merah kerana ada pigmen merah yang disebut sebagai hemoglobin. Jom tengok satu persatu kandungan dalam darah!
Sel darah merah merupakan sel yang berbentuk cakera dan cembung. Sel ini berwarna merah kerana mengandungi pigmen (pewarna) merah yang juga dikenali sebagai hemoglobin. Sel ini tidak bernukleus. Fungsi untuk sel darah merah adalah untuk mengangkut oksigen ke seluruh badan. Jangka hayat bagi sel darah merah adalah selama 120 hari.
Sel darah putih pula adalah sel yang tidak mempunyai bentuk yang tetap. Bentuk macam-macam. Namun begitu, sel darah putih mempunyai nukleus. Sel darah putih berfungsi untuk melawan jangkitan penyakit dengan membunuh bakteria dan juga mikroorganisma dalam badan dengan penghasilan antibodi. Selain daripada itu, sel darah putih juga menghasilkan antitoksin. Jangka hayat bagi sel darah putih adalah selama 2 hari hingga 2 bulan.
Platlet pula adalah kepingan sel pecah yang sangat kecil. Platlet tidak mempunyai nukleus. Oleh kerana ia nya adalah sel-sel yang pecah, maka ia tidak mempunyai bentuk yang tetap. Platlet berfungsi untuk membantu dalam pembekuan darah. Selain daripada itu, platlet juga memulakan proses penyembuhan dan membaiki luka-luka pada sel.
Akhir sekali adalah plasma, iaitu bendalir yang ada bersama-sama bahan lain untuk membentuk darah. Plasma sebenarnya adalah 90% air dan 10% bahan terlarut. Antara bahan terlarut yang ada dalam plasma adalah nutrien, garam mineral, bahan kumuh, protein terlarut dan juga hormon. Selain daripada itu, plasma juga mengangkut bahan yang tidak larut dan haba keluar dari badan.
No comments:
Post a Comment