Tuesday, March 18, 2014

20 AKTIVITI YANG BERFAEDAH KETIKA CUTI SEKOLAH

Cuti sekolah tiba lagi. Masa cuti yang panjang seeloknya dimanfaatkan dengan berkesan oleh adik-adik di rumah. Di sini saya nak cadangkan 20 Aktiviti Cuti Sekolah Yang Paling Popular dan Bermanfaat untuk adik-adik lakukan sepanjang cuti sekolah ini. Buat ibu bapa pula, laburkanlah sedikit wang anda bagi pengisian yang bermakna buat anak-anak. Semoga cuti sekolah ini dapat terisi dengan sebaiknya!
20 Aktiviti Cuti Sekolah Yang Paling Popular dan Bermanfaat
 

01. Kem Motivasi
Kem Motivasi sememangnya antara program cuti sekolah yang paling banyak diadakan. Kem Motivasi yang diadakan ini terdapat dalam banyak kategori. Ada yang menumpukan kepada pembinaan sahsiah diri, kepimpinan, akademik dan pelbagai lagi. Pilihlah Kem Motivasi daripada penganjur yang dikenali dan dijamin keberkesanan programnya supaya anda juga berpuas hati dengan hasilnya nanti.


02. Kem Ibadah
Ini juga merupakan kem yang baik untuk adik-adik. Kem Ibadah selalunya akan dipenuhi dengan aktiviti dan program yang berkaitan dengan hal-hal ibadat seperti teknik solat yang betul, memperbaiki bacaan Al-Quraan dan aktiviti pemantapan iman. Malahan kini juga ada kursus pendek cuti sekolah bagi melatih adik-adik untuk mempelajari teknik menghafal Al-Quraan. Mudah-mudahan perkara asas agama ini dapat membimbing adik-adik melayari kehidupan ini ke jalan yang benar.

Kem Ibadah

03. Klinik Sukan
Bagi adik-adik yang meminati sukan pula serta berhajat untuk meneruskan ke peringkat yang lebih tinggi, saya cadangkan adik-adik mengikuti Klinik Sukan. Klinik sukan memang banyak diadakan pada musim cuti sekolah, terutamanya bagi sukan-sukan popular seperti bola sepak, futsal, tenis, badminton, renang dan golf. Bagi yang berkemampuan, bolehlah melantik jurulatih peribadi bagi sukan kegemaran anak masing-masing.


04. Belajar ICT
Penggunaan komputer pada masa sekarang adalah amat meluas dalam kalangan anak-anak. Sekiranya itu adalah minat mereka, maka cubalah didik mereka untuk menggunakannya dengan cara yang berfaedah. Kelas seperti Grafik, Suntingan Video, bina laman web, Coding dan Membina Apps adalah perkara baru yang boleh memberi kelebihan kepada adik-adik. Mungkin dengan mengikuti kelas-kelas berikut membolehkan adik-adik mahir dalam menghasilkan bahan kreatif multimedia suatu hari nanti.

Kelas seperti Grafik, Suntingan Video, bina laman web, Coding dan Membina Apps


05. Kursus Pendek Bahasa
Ini juga merupakan kursus yang bagus untuk adik-adik. Mempelajari bahasa tambahan dapat memberi kelebihan buat adik-adik. Bagi yang lemah menggunakan Bahasa Inggeris, boleh ambil kursus Bahasa Inggeris yang banyak diadakan. Antara bahasa asing lain yang dicadangkan adalah Bahasa Mandarin, Bahasa Arab, Bahasa Jepun dan lain-lain bahasa utama dunia.


06. Kemahiran Bertukang
Kemahiran bertukang juga merupakan aktiviti yang menyeronokkan. Adik-adik boleh mulakan dengan menghasilkan bahan-bahan mudah yang berguna seperti rak buku dan alat tulis. Kemudiannya dengan pengawasan daripada ibu bapa, adik-adik boleh mula menghasilkan bahan yang lebih besar, seperti bangku, reban ayam dan sangkar burung. 


07. Kraf dan Anyaman
Bagi adik-adik yang suka dengan kerja tangan, adik-adik bolehlah mencuba menghasilkan kraf atau pun menganyam. Kraf yang dihasilkan boleh terdiri daripada bahan kertas, plastik, besi dan juga bahan buangan. Boleh rujuk di dalam internet dan bahan bacaan bagaimana menghasilkan bahan kraf yang kreatif dan cantik.


08. Belajar Alat Muzik
Mempelajari penggunaan alat muzik juga merupakan aktiviti yang menyeronokkan. Tambahan pula jika adik-adik merupakan penggemar muzik. Mula lah belajar dengan menggunakan teknik asas terlebih dahulu. Jika berminat, adik-adik boleh teruskan ke tahap yang lebih tinggi. Alat muzik yang dicadangkan adalah gitar, piano, biola dan seruling.

Mempelajari penggunaan alat muzik
 

09. Belajar Berenang
Bagi adik-adik yang masih belum boleh berenang, aktiviti ini adalah amat digalakkan. Tempoh sebulan sudah cukup untuk menjadikan adik-adik seorang perenang yang baik. Tak rugi jika sekiranya adik mempelajari kemahiran berenang. Malah jika berminat selepas ini, adik-adik boleh menjadikannya aktiviti riadah yang rutin.


10. Belajar Memasak
Bagi adik-adik perempuan, ini lah masa untuk belajar memasak terutamanya jika anda tinggal di asrama. Bermula lah dengan menolong ibu di dapur dengan masakan yang biasa dimasak oleh ibu. Jika berminat, teruskan lagi dengan mempelajari masakan dari buku resepi atau dari internet. Cuba juga belajar memasak jenis-jenis kek seperti kek keju, kek cawan dan sebagainya. Tentu lebih menarik kan?


11. Belajar Menari
Ini juga adalah satu aktiviti yang menarik. Adik-adik boleh peruntukkan masa cuti sekolah ini dengan belajar menari. Terpulang kepada adik-adik untuk mempelajari sama ada tarian moden, atau tarian tradisional. Sekurang-kurangnya, adik-adik telah menambah satu lagi kelebihan kepada diri adik-adik. Selain daripada tarian yang disebutkan tadi, mungkin adik-adik juga boleh cuba Zumba, aerobik atau tarian kecergasan lain.

mempelajari sama ada tarian moden, atau tarian tradisional
 

12. Berkebun
Berkebun memang menyeronokkan. Adik-adik boleh memilih sama ada untuk menanam pokok hiasan di sekitar rumah atau menanam sayur. Sekurang-kurangnya dapat juga sayur tadi digunakan untuk makan sendiri atau pun boleh dijual. Jika berkebun bagi tujuan untuk makan atau dijual, pilihlah daripada jenis yang cepat membesar dan memerlukan tempoh yang singkat untuk mengeluarkan hasil. Sempat juga adik-adik merasa hasilnya sebelum kembali ke sekolah.


13. Melancong
Bagi adik-adik dari keluarga yang berkemampuan, keluarlah pergi bercuti dengan keluarga. Aktiviti ini memang sangat menyeronokkan dan juga dapat membuka minda adik-adik. Selain daripada mengeratkan hubungan kekeluargaan, aktiviti ini juga dapat menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman adik. Antara pilihan yang baik untuk melancong adalah tempat-tempat bersejarah, tempat menarik, taman tema, pusat pelancongan dan tempat yang belum dilawati.

bercuti dengan keluarga
 

14. Sukan Ekstrem
Ada juga dalam kalangan adik-adik yang meminati sukan ekstrem. Jadi apakata gunakan masa cuti sekolah ini untuk mengasah lagi bakat adik-adik dalam sukan ini. Adik-adik boleh dapatkan nasihat dan tunjuk ajar daripada mereka yang lebih berpengalaman dalam bidang ini. Tapi ingat! Utamakan keselamatan anda sepanjang menyertai aktiviti lasak ini dengan memakai peralatan dan pakaian yang sesuai.


15. Bekerja Sambilan
Ini juga merupakan aktiviti yang menarik dilakukan semasa cuti sekolah. Bagi adik-adik yang berminat mencari duit poket, ini lah masa yang paling sesuai. Pastikan kerja yang dilakukan adalah selamat dan tidak menyalahi undang-undang. Ada kerja sambilan yang boleh dijalankan dari rumah dan ada juga yang di luar. Dapatkan kebenaran ibubapa terlebih dahulu. Jika niat dan tujuan adik-adik betul, inshaAllah ibubapa tak akan keberatan untuk membenarkan adik-adik bekerja sambilan semasa cuti sekolah ini.


16. Membantu Datuk dan Nenek di Kampung
Aktiviti menyeronokkan ini lebih bersifat kekeluargaan, namun ada banyak kebaikan dan manfaatnya. Bagi yang masih mempunyai datuk dan nenek di kampung, ini adalah masa terbaik bagi membolehkan adik-adik mempunyai pengalaman hidup yang berbeza. Cara hidup dan didikan di kampung dah tentu jauh beza dengan kehidupan bersama ibubapa di bandar. Banyak yang akan diperolehi, terutamanya hal-hal dalam melayani orang tua.

Membantu Datuk dan Nenek di Kampung

 
17. Menolong Ibu Bapa di Rumah
Adik-adik yang hanya berada di rumah, boleh juga membantu ibubapa ketika mereka keluar bekerja. Banyak kerja rumah yang boleh dilakukan seperti mencuci pakaian, menyapu sampah, memasak, melipat pakaian dan lain-lain lagi. Sekurang-kurangnya kehadiran adik-adik di rumah sepanjang cuti dapatlah juga membantu meringankan beban dan tanggungjawab ibubapa. Masa untuk berbakti.


18. Melakukan Kerja Amal
Selain daripada membantu ibu bapa, adik-adik juga boleh melakukan kerja amal. Tak perlu memikirkan dan menggerakkan satu kerja amal yang baru. Cukup lah sekadar mencurahkan bakti kepada badan amal kebajikan yang adik tahu. Ajak juga rakan-rakan bagi memeriahkan lagi aktiviti. Banyak kerja amal yang boleh dilakukan seperti membersihkan kawasan masjid dan kawasan perkuburan. Sertai juga badan kebajikan yang membantu memberi makanan kepada gelandangan. Rumah orang tua juga menarik untuk dijadikan tempat untuk kerja amal.


19. Baca Novel / Buku Ilmiah
Bagi adik-adik yang berminat dengan membaca buku, boleh juga meneruskan minat dengan membaca novel atau pun buku ilmiah. Pilih lah daripada senarai novel-novel berkualiti tinggi, supaya adik-adik dapat juga mempelajari teknik menulis yang baik. Buku ilmiah seperti ensiklopedia juga sangat bermanfaat untuk dihabiskan sepanjang cuti ini. Sekurang-kurangnya adik-adik akan dapat memperolehi ilmu pengetahuan baru yang berguna.

membaca novel atau pun buku ilmiah


20. Ulangkaji dan Persediaan Tahun Depan
Mungkin ini adalah aktiviti cadangan musim cuti sekolah yang paling akhir saya utarakan, namun ada manfaat dan juga kelebihannya. Sekalipun mungkin agak membosankan kepada adik-adik, namun persediaan untuk tahun depan adalah amat penting. Apatah lagi jika pada tahun depan, adik-adik bakal berhadapan dengan PBSMR atau pun SPM. Maka sebaiknya, ambil sedikit masa untuk merancang apa yang akan adik-adik lakukan untuk tahun hadapan.


Ini lah serba sedikit 20 cadangan aktiviti cuti sekolah yang berguna dan bermanfaat kepada adik-adik dan juga ibu bapa. Manfaatkan cuti sekolah adik-adik dengan sebaiknya dengan sasaran mempunyai sekurang-kurangnya satu nilai tambah baru kepada adik-adik tahun depan. Kepada ibu bapa juga, tak perlu manjakan anak pada musim cuti sekolah dengan hanya membiarkan mereka menonton tv, bermain games dan melayari Internet sepanjang masa. Cubalah salah satu daripada aktiviti di atas, inshaAllah anda dan anak akan perolehi sesuatu yang bermakna cuti sekolah ini!

203 SEKOLAH BUKA SEMULA SELEPAS TUTUP KERANA JEREBU

Semua 203 sekolah yang ditutup sejak Jumaat lalu, dibuka semula mulai Isnin ini berikutan kualiti udara yang semakin pulih dan berada di paras selamat. 

Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor (JPS), Datuk Mahmud Karim, berkata pihaknya tidak akan melanjutkan lagi arahan penutupan sekolah terbabit ekoran kualiti udara semakin pulih dan selamat untuk menjalankan aktiviti luar rumah. 
203 Sekolah Buka Semula Selepas Tutup Kerana Jerebu

Bagaimanapun, beliau menasihatkan ibu bapa membawa anak menjalani rawatan perubatan segera jika ada simptom seperti sesak nafas.
"Ibu bapa boleh memohon cuti daripada pihak sekolah jika kesihatan anak mereka mudah terjejas dengan jerebu sederhana. Bagaimanapun sesi persekolahan tetap berjalan seperti biasa,” katanya sambil menambah arahan penutupan akan dikeluarkan jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) kembali mencatatkan paras bahaya.

Jumaat lalu, 203 sekolah di daerah Pelabuhan Klang dan Banting diarah tutup berikutan bacaan IPU di kawasan terbabit mencatatkan paras bahaya. 


Sumber 

Saturday, March 1, 2014

KEPENTINGAN MENDERMA DARAH

Manusia mungkin kehilangan banyak darah akibat pendarahan yang berlebihan. Pendarahan yang berlebihan ini mungkin berpunca daripada kecederaan ataupun penyakit. Jadi, darah tersebut perlulah digantikan melalui pemindahan darah. Apabila perkara ini berlaku, maka beberapa perkara perlu diambil kira seperti kesesuaian darah penderma dengan darah penerima.
Kepentingan Menderma Darah

Antara syarat lain bagi penderma darah adalah seseorang itu mestilah sihat, berat melebihi 50kg dan berumur antara 17 hingga 60 tahun. Seseorang itu boleh menderma sehingga 0.5 liter darah pada satu-satu masa. Derma darah terakhir juga adalah sekurang-kurangnya 90 hari sebelum. 

Walaubagaimanapun, ada beberapa faedah yang berkaitan dengan kepentingan menderma darah.

1. Boleh menyelamatkan nyawa seseorang
Bagi orang-orang yang berisiko tinggi kehilangan darah seperti akibat kemalangan dan juga ibu yang melahirkan anak, darah yang didermakan adalah sangat penting. Dalam keadaan kecemasan seperti itu, mereka sangat memerlukan darah yang banyak dalam kadar yang segera. Sudah tentu pada saat kecemasan itu, jika tiada bekalan darah yang didermakan, proses ini akan menyulitkan lagi keadaan pesakit. 


2. Boleh membantu seseorang dengan penyakit yang berkaitan dengan darah
Derma darah juga penting dalam membantu pesakit yang menghidap penyakit yang berkaitan dengan darah. Antara penyakit yang berkaitan dengan darah adalah hemofilia, anemia dan talasemia yang berkaitan dengn sel darah merah. Manakala penyakit kegagalan sumsum tulang dan leukimia pula adalah penyakit yang berkaitan dengan platlet.

Mereka ini sangat memerlukan darah bagi menjalani kehidupan biasa seperti kita. Tanpa bekalan darah yang berterusan, maka perkara ini boleh mengundang maut kepada pesakit. Justeru itu, darah yang diderma adalah sangat penting.

KUMPULAN DARAH PENDERMA DAN PENERIMA

Apabila ada perkara yang memerlukan pemindahan darah, kita perlu pastikan kumpulan darah penderma dan penerima adalah sama atau serasi. Perkara ini disistemkan dengan lebih jelas melalui Sistem ABO yang dibangunkan oleh Karl Landsteiner pada tahun 1901. Jika darah yang digunakan adalah tidak sama dan serasi, darah tersebut akan menggumpal. Hal ini akan membunuh penerima darah tersebut.


Berikut adalah jadual yang boleh digunakan bagi menentukan samada darah penderma tadi adalah sesuai atau tidak dengan darah penerima.


Bagaimana untuk memahami jadual di atas?
Jika penderma adalah berdarah kumpulan A, maka penerima boleh terdiri daripada kumpulan darah A dan juga AB.

Jika penderma adalah berdarah kumpulan B, maka penerima boleh terdiri daripada kumpulan B dan juga AB.

Jika penderma adalah berdarah kumpulan AB, maka penerima boleh terdiri daripada kumpulan darah AB sahaja.

Jika penderma adalah berdarah kumpulan O, maka penerima boleh terdiri daripada kumpulan A, B, AB dan O.


Penderma Universal
Kumpulan darah O boleh menderma kepada SEMUA kumpulan darah, tetapi hanya boleh menerima daripada kumpulan darah O sahaja. 

Oleh itu kumpulan darah O juga dikenali sebagai Penderma Universal kerana boleh mendermakan darahnya kepada semua kumpulan.


Penerima Universal
Mankala Kumpulan darah AB pula boleh menerima daripada SEMUA kumpulan darah, tetapi hanya boleh menderma kepada kumpulan AB sahaja.

Oleh itu kumpulan darah AB juga dikenali sebagai Penerima Universal kerana boleh menerima darahnya daripada semua kumpulan.

KUMPULAN DARAH MANUSIA

Darah manusia adalah terdiri daripada plasma, sel darah merah, sel darah putih dan platlet. Kumpulan darah manusia pula dikelaskan kepada empat kumpulan yang berbeza. Keempat-empat kumpulan tersebut adalah A, B, AB dan O yang juga dikelaskan mengikut Sistem ABO.
Kumpulan Darah Manusia

Sebenarnya selain daripada Sistem ABO ini, terdapat hampir 32 jenis sistem lain yang digunapakai bagi mengklasifikasikan kumpulan darah. Namun yang paling popular adalah yang menggunakan Sistem ABO yang diasaskan oleh Karl Landsteiner pada tahun 1901. Kemudian sistem ini dimurnikan lagi dengan Sistem Rhesus yang diusahakan secara bersama dengan Alexander S Wiener pada tahun 1937. 

Jenis kumpulan darah adalah terwaris dan disumbangkan oleh kedua ibu bapa. Mengikut budaya Jepun, mereka percaya bahawa jenis kumpulan darah ini boleh mempengaruhi personaliti, watak dan kesesuaian seseorang dengan individu lain. 

1. JENIS DARAH A ADALAH PETANI (FARMERS) 
Mereka berdarah A adalah golongan pemalu tetapi mementingkan kesempurnaan dalam senyap. Mereka sangat bertimbang rasa terhadap orang lain dan tidak pandai menipu. Mereka setia dengan kawan dan rakan sekerja. Mereka boleh menjadi perahsia, kuat, tetapi jarang sekali berkongsi perasaan mereka. Mereka ini sukar dipuaskan dan serius dalam hidup. 

2. JENIS DARAH B ADALAH PEMBURU (HUNTERS)
Mereka berdarah B adalah golongan yang periang, memiliki semangat dan aura personaliti yang kuat dan tersendiri. Dalam waktu yang sama, mereka tidak menghiraukan apa orang lain fikir tentang mereka dan liar. Mereka boleh menjadi sangat lemah, pemalas dan kurang sabar. Namun, mereka juga sangat bersungguh-sungguh (passionate) dengan apa yang mereka mahukan.
 
3. JENIS DARAH AB ADALAH AHLI KEMANUSIAAN (HUMANISTS)
Mereka sukar dimengerti, gemar menjauhkan diri, selalu menggunakan logik daripada mengikut gerak hati. Selain itu, AB sangat bagus menguruskan kewangan, walaupun berfungsi sebagai pendamai, kadang kala AB bersikap talam dua muka.
 
4. JENIS DARAH O ADALAH PEJUANG (WARRIORS)
Mereka "outgoing","expressive", dan "passionate". O sangat bermotivasi dan mempunyai ciri pemimpin semulajadi. Dikurniakan rasa kewujudan yang kuat, tidak takut mengambil risiko jika mereka yakin mereka akan menang, seorang ahli sukan semulajadi.


Berikut adalah Fakta menarik mengenai kumpulan darah manusia
1. Pemindahan darah yang pertama dalam sejarah telah berlaku seawal tahun 1667. Jean-Baptise telah memindahkan darah sebanyak 1 liter dari seekor kambing ke seorang pemuda.
2.  Seorang perempuan memiliki sekitar 4-5 liter darah dalam tubuh, sedangkan seorang lelaki mempunyai 5-6 liter darah.
3. 2 juta sel darah merah akan mati pada setiap saat.
4. Dengan mendermakan setengah liter darah, kita telah menyelamatkan 4 nyawa manusia.
5. Secara puratanya, terdapat sehingga 40% manusia yang mempunyai darah jenis kumpulan O.

KANDUNGAN DARAH

Mengapa darah berwarna merah?
 dan 
 Apa yang ada dalam darah anda?

kandungan darah manusia

Darah sebenarnya terdiri daripada 4 jenis bahan iaitu sel darah merah, sel darah putih, platlet dan plasma. Darah berwarna merah kerana ada pigmen merah yang disebut sebagai hemoglobin. Jom tengok satu persatu kandungan dalam darah!




kandungan darah manusia : sel darah merah

 Sel darah merah merupakan sel yang berbentuk cakera dan cembung. Sel ini berwarna merah kerana mengandungi pigmen (pewarna) merah yang juga dikenali sebagai hemoglobin. Sel ini tidak bernukleus. Fungsi untuk sel darah merah adalah untuk mengangkut oksigen ke seluruh badan. Jangka hayat bagi sel darah merah adalah selama 120 hari.






kandungan darah manusia : sel darah putih

Sel darah putih pula adalah sel yang tidak mempunyai bentuk yang tetap. Bentuk macam-macam. Namun begitu, sel darah putih mempunyai nukleus. Sel darah putih berfungsi untuk melawan jangkitan penyakit dengan membunuh bakteria dan juga mikroorganisma dalam badan dengan penghasilan antibodi. Selain daripada itu, sel darah putih juga menghasilkan antitoksin. Jangka hayat bagi sel darah putih adalah selama 2 hari hingga 2 bulan.





kandungan darah manusia : platlet

Platlet pula adalah kepingan sel pecah yang sangat kecil. Platlet tidak mempunyai nukleus. Oleh kerana ia nya adalah sel-sel yang pecah, maka ia tidak mempunyai bentuk yang tetap. Platlet berfungsi untuk membantu dalam pembekuan darah. Selain daripada itu, platlet juga memulakan proses penyembuhan dan membaiki luka-luka pada sel.





kandungan darah manusia : plasma

Akhir sekali adalah plasma, iaitu bendalir yang ada bersama-sama bahan lain untuk membentuk darah. Plasma sebenarnya adalah 90% air dan 10% bahan terlarut. Antara bahan terlarut yang ada dalam plasma adalah nutrien, garam mineral, bahan kumuh, protein terlarut dan juga hormon. Selain daripada itu, plasma juga mengangkut bahan yang tidak larut dan haba keluar dari badan.