Thursday, February 27, 2014

BUKU PENTAKSIRAN KBAT

Lembaga Peperiksaan Malaysia melalui laman webnya telah menyiarkan satu pautan kepada e-book boleh DOWNLOAD dengan tajuk "Buku Pentaksiran KBAT 2014". Fail dengan saiz 106MB tersebut merupakan e-book kepada bentuk pentaksiran KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi) yang khabarnya bakal mula akan dijalankan pada peperiksaan pada tahun ini.

DOWNLOAD | Buku Pentaksiran KBAT 2014

(106 MB)


Tidak banyak perkara yang dinyatakan dalam siaran LPM. Hanya yang disertakan adalah pautan kepada e-book ini. Maknanya kena baca sendiri lah. 

Oleh kerana unsur KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi) ini akan mula diterapkan dalam bentuk-bentuk soalan peperiksaan bermula tahun ini. Maka saya sangat mencadangkan agar rakan guru, ibu bapa yang prihatin dan juga para pelajar yang disayangi untuk download dan baca e-book ini. InshaAllah membantu anda untuk memahami bentuk soalan yang bakal ditanyakan kemudian hari nanti.

Saya nyatakan serba sedikit mengenai e-Book Buku Pentaksiran KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi) 2014 ini.

e-Book ini mengandungi 3 bab dengan 177 muka surat untuk dibaca. Bab 1 lebih memfokuskan kepada maksud dan definisi kepada perkataan dan istilah-istilah baru yang digunakan dan dimaksudkan. Bab 2 rasanya lebih penting dengan mengandungi panduan menulis item (soalan KBAT) dan juga untuk menilai dengan rubrik pemarkahan yang sesuai. Manakala bab akhir pula hanyalah mengandungi aktiviti untuk menguji kefahaman pembaca kepada KBAT.
 

Bab 1 : Pentaksiran
Konsep pentaksiran, ciri pentaksiran, kesahan dan kebolehpercayaan, konstruk, konteks, aras kesukaran, kata tugas, respons murid, item, peraturan pemarkahan

 
Bab 2 : Penulisan Item Kemahiran Berfikir Aras Tinggi
Penulisan item, piawaian penulis item, idea penulisan item, definisi kemahiran berfikir aras tinggi, konsep item mentaksir kemahiran berfikir aras tinggi, ciri item kemahiran berfikir aras tinggi, prinsip pembinaan dan penilaian item KBAT, contoh item

Penulisan Item Kemahiran Berfikir Aras Tinggi


Bab 3 : Aktiviti Pengukuhan
Bab ini ,engandungi beberapa contoh soalan daripada pelbagai subjek. Guru diberi peluang untuk cuba menentukan konstruk, konteks, aras kesukaran, dan kategori item sama ada Kemahiran Berfikir Aras Tinggi atau Kemahiran Berfikir Aras Rendah. 


Jom ramai-ramai kita download dan baca sama-sama!

Wednesday, February 26, 2014

PBS DITANGGUHKAN

Pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) ditangguhkan sehingga ia dimuktamadkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam masa terdekat.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof, berkata kajian menyeluruh mengenai pelaksanaan PBS sedang dijalankan dan cadangan penambahbaikan akan dikemukakan kepada Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk keputusan.


 "Buat masa ini guru-guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan PBS sehingga satu kenyataan mengenainya dibuat oleh KPM dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.


Pelaksanaan PBS Ditangguhkan!

Dr Khair berkata, selaras dengan arahan Menteri Pendidikan supaya kajian menyeluruh mengenai pelaksanaan PBS, KPM mengambil inisiatif meneliti semula pelaksanaannya supaya dapat mengurangkan bebanan tugas guru.

“Kajian dan penelitian ini difokuskan kepada rombakan terhadap perkara yang membabitkan kekerapan guru memasukkan data berkaitan eviden dan pencapaian murid, termasuk juga pengisian borang perekodan prestasi murid yang boleh membebankan guru,” katanya.

Dr Khair berkata, di samping memastikan kajian dan penelitiannya dilaksana secara berkesan, KPM juga mengambil beberapa langkah segera bagi menanganinya termasuk menangguhkan taklimat PBS di peringkat sekolah rendah dan menengah seluruh negara bermula pada 17 Februari ini bagi mengelakkan kekeliruan terhadap pelaksanaannya.

Beliau berkata, KPM juga akan mengadakan bengkel membabitkan guru termasuk kesatuan guru dalam usaha penelitian dan kajian semula terhadap pelaksanaan PBS. 



“Bengkel berkenaan akan dilaksanakan pada awal dan pertengahan Februari ini dan hasilnya akan dibentangkan semula kepada KPM dalam tempoh terdekat. “Selain itu, pihak KPM akan menubuhkan Jawatankuasa Pasukan Petugas PBS di peringkat KPM yang mengadakan mesyuarat setiap minggu bagi meneliti dan menilai perkembangan setiap tindakan terhadap penelitian PBS,” katanya.

Sementara itu, bagi menangani isu berbangkit berkaitan PBS dengan segera dan berkesan, KPM akan mewujudkan ‘war room’ PBS di peringkat KPM.

“Usaha penambahbaikan terhadap capaian Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) juga sedang dilaksanakan di peringkat KPM bagi memastikan guru-guru boleh mengakses sistem berkenaan secara lebih mudah dan berkesan. “Semua tindakan berkenaan diambil bagi memastikan setiap elemen pelaksanaan PBS dapat memberikan taksiran secara holistik terhadap murid dan dalam masa yang sama, mengurangkan bebanan tugas guru yang melaksanakannya,” katanya. 

Sumber


p/s: Tentu ramai yang bersorak gembira....

Friday, February 14, 2014

SISTEM URINARI MANUSIA

SISTEM URINARI MANUSIA
 1. Sistem yang terdiri daripada ginjal (buah pinggang), ureter, pundi kencing dan uretra
 2. Berfungsi untuk menyingkirkan urin yang mengandungi bahan kumuh yang tidakdiperlukan badan.
Sains menganalisa sistem urinari manusia

ORGAN DAN FUNGSI
1. Ginjal - Menapis darah dan menghasilkan urin
2. Ureter - Mengangkut urin dari ginjal ke pundi kencing
3. Pundi Kencing - Menyimpan urin buat sementara waktu
4. Urethra - Membawa urin keluar dari pundi kencing untuk penyingkiran


FUNGSI LAIN GINJAL
1. Menyingkirkan bahan buangan bernitrogen dengan lebihan air dan garam mineral dalam bentuk urin
2. Mengawal atur keseimbangan air dan kimia serta kandungan garam dalam badan
3. Mengekalkan pH darah dan keseimbangan asid-bes dalam badan
4. Menghasilkan hormon    


KEPENTINGAN MENGEKALKAN KESIHATAN GINJAL
1. Minum 8 gelas air setiap hari
2. Amalkan pemakanan seimbang
3. Kurangkan pengambilan gula dan garam

SISTEM PERKUMUHAN MANUSIA

Perkumuhan
Proses penyingkiran bahan buangan yang berlebihan dalam badan manusia.

Tujuan Perkumuhan
1) Menyingkirkan sisa toksik dan beracun
2) Menyejukkan badan dan membantu mengekalkan suhu badan
3) Mengawal pH badan
4) Mengekalkan keseimbangan kimia dan air
5) Menyingkirkan bahan-bahan berlebihan


Sains memahami sistem perkumuhan manusia

10 Isu Panas Dunia Pendidikan Malaysia 2013

Sesi persekolahan bagi tahun 2013 dah lama melabuhkan tirainya. Banyak kenangan suka duka yang telah berlangsung sepanjang tahun ini. Sama ada ianya kenangan manis atau kenangan pahit untuk anda pada tahun ini, sudah tentu ianya akan menjadi titik tolak kepada satu permulaan yang baru, ke arah yang lebih baik, inshaAllah. Jom saya bawa pembaca mengimbau kembali kontroversi dan isu-isu yang melanda pendidikan Malaysia sepanjang tahun 2013 ini. Semoga yang baik, kita jadikan teladan, dan yang buruk kita jadikan sempadan!




Isu Ibubapa vs  Cikgu
Isu pada awal tahun bermula dengan gambar keratan akhbar mengatakan amaran kepada cikgu supaya jangan denda, hukum dan bagi kerja rumah kepada anak murid. Maka ramai lah yangrespon dengan perkara ini dengan menyuruh ibubapa mengajar sendiri anak-anak mereka. Tapi muncul juga persoalan, benarkah mesej tersebut daripada ibubapa?


Isu kemudian diteruskan lagi dengan kenyataan kontroversi Dr Rubiah K Hamzah mengenai cikgu yang bersalah kalau pelajar bermasalah. Dah tentu lah meletup sekejap rakan guru mengulas kenyataan yang camtu. Macam-macam komen juga keluar dari pelbagai pihak.

Kes bertambah serius lagi dengan isu makan pelajar bukan Islam dalam jamban semasa bulan puasa yang mendapat liputan yang sangat meluas di media massa. Sehinggalah kebenarannya terbukti. Itu bukan jamban! Tetapi bilik persalinan yang diubahsuai bagi menggantikan kantin yang sedang dibina semula. Langsung tak ada permohonan maaf daripada ibu yang mencetuskan huru hara kepada pihak sekolah!



Selain itu ada juga isu bapa pelajar yang menyaman sekolah kerana anaknya tidak menyiapkan kerja rumah. Sehingga kan muncul juga beberapa video parodi mengenai isu ini. Kesian cikgu.. Kemudian sebuah sekolah didakwa telah memasang CCTV dalam tandas yang kemudiannya dinafikan oleh pihak sekolah. Pemasangan CCTV juga sebenarnya telah mendapat persetujuan ibubapa. 



Isu Cikgu
Kisah cikgu yang paling menggemparkan tahun ini tentulah kisah mengenai seorang guru yang kematian anak nya dalam kereta. Saya tak nak ulas lebih-lebih, tetapi mendoakan yang terbaik buat beliau dan keluarga. Kemudian dikejutkan sekali lagi mengenai kehilangan anak seorang guru. Yang kemudiannya anak tersebut ditemui di Pulau Pinang, dilarikan oleh kekasihnya. Hmm.. Ini pun taknak komen lebih-lebih.

Isu semasa seperti LGBT juga telah mengetengahkan guru yang bergiat aktif dalam menyedarkan golongan LGBT, seperti Cikgu Erin, dulu pondan sekarang pendakwah. Dunia pendidikan juga dikejutkan dengan insiden tembakan beberapa orang guru di Kelantan danKedah. Tak lupa juga kematian beberapa tokoh utama dalam dunia pendidikan di Malaysia seperti Allahyarham Ustaz Muhammad El-MuhammadyAllahyarham Tan Sri Ainuddin Wahid, dan Allahyarham Tan Sri Dr Awang Had Salleh. Semoga Allah merahmati mereka semua! 



Isu Buli
Untuk tahun ini, masih ada kedengaran beberapa kes buli dalam kalangan pelajar yang dilaporkan ke media massa. Dimulakan dengan isu buli ketua kelas di SMK Tun Hussein Onnsehinggalah isu buli dalam asrama di SMK Julau, Sarawak



Walaupun kes yang berlaku di 2 buah sekolah ini adalah tidak serius sehingga menyebabkan kematian, namun perkara seperti ini perlu sentiasa dipandang serius. Semua pihak perlu bekerjasama dalam membanteras kes buli ini sehingga ke tahap sifar!



Isu Cikgu Berpolitik
Oleh sebab pada tahun ini kita didemamkan dengan demam politik untuk hampir sepanjang tahun, maka muncul lah beberapa cikgu yang saya rasa sedikit melampau bila bermain dengan isu politik. Maka muncul lah kes-kes macam Cikgu Doggie. Serius juga kesnya, sehinggakan diambil tindakan oleh polis dan KPM sendiri. 



Isu politik ini berterusan lagi apabila seorang guru di Selangor telah menghukum pelajar-pelajarnya yang sekolah rendah berdiri hanya kerana perbezaan fahaman politik. Musim politik, sila jaga diri yer..



Isu Cikgu Perkauman
Ini juga antara isu yang sepatutnya dah tak boleh ada di bumi Malaysia nih. Seorang cikgu perempuan di sebuah sekolah di Johor, telah melakukan provokasi melampau terhadap muridnya dengan memanggil mereka dengan gelaran yang sangat tidak sopan. Memang tak patut! Guru tersebut kemudiannya ditempatkan di PPD sementara menunggu siasatan.


Kemudian sekali lagi gempar dengan kenyataan kontroversi oleh seorang Pengetua semasa perhimpunan. Kenyataan menjadi lebih kontroversi apabila wartawan hanya melaporkan "balik ke China dan India" menyebabkan ianya menjadi isu yang besar. Kenyataan asalnya, "balik ke China, India dan Indonesia". Yang wartawan tuh pun satu hal..




Isu PPPM
Isu pelaksanaan PPPM juga mengundang banyak polemik dalam kalangan pendidik Malaysia. Terutamanya bagi mereka yang salah faham akan tujuan pelaksanaan dasar tersebut. Bantahan menyebabkan respon yang keras daripada pelbagai pihak. Ini termasuk kenyataan daripada Dr Teo Kok Seong terhadap Dong Zong yang dilihat menentang pelaksanaan dasar tersebut. Menteri Pendidikan pula tegas dengan kenyataan akan meneruskan pelaksanaan dasar tersebut. Akhirnya pada bulan September 2013, PPPM telah selamat dilancarkan dengan jayanya. 




Isu PBS
Isu PBS memang isu yang paling TOP dalam kalangan cikgu untuk tahun 2013 ini. Sampai ada yang buat luahan berkaitan dengan permasalahan yang timbul akibat PBS ini. Rungutan demi rungutan didedahkan oleh pihak tertentu. Kes menjadi lebih kritikal apabila isu PBS dan sistemnya iaitu SPPBS turut disuarakan di Parlimen. Kesannya, sistem yang banyak kelemahan tersebut telah ditutup bagi dibaikpulih selama sebulan. 

Tokoh-tokoh akademik seperti Dr Mohamad Agus juga lantang dalam memperjuangkan nasib-nasib guru yang bertungkus lumus menyiapkan tugasan dalam kesukaran. Kewujudan group-group di Facebook yang memohon supaya dimansuhkan PBS bagi menjamin masa depan pendidikan Malaysia. 



Isu Profesionalisma Guru
2013 juga menyaksikan kewujudan begitu banyak sistem-sistem e- dalam dunia pendidikan Malaysia. Memang banyak, sampai ada yang bertindih fungsinya. Itu belum kira samaada berkesan atau tak, lambat atau cepat. Kemudian keluar pula kenyataan mengenai 70% guru Bahasa Inggeris yang tidak menguasai bahasa tersebut. Pelbagai maklumbalas daripada guru-guru Bahasa Inggeris menerjah dunia blog. 

Pelaksanaan dasar MMI juga memberi reaksi berbeza daripada guru-guru sehingga memaksa untuk NUTP bertindak memperjuangkan permasalahan yang timbul di peringkat guru dan sekolah. Dengan pelaksanaan pelbagai dasar lagi untuk sepanjang tahun 2013 ini, maka diharapkan KPM agar lebih berhati-hati dan jalankan kajian terlebih dahulu sebelum dilaksanakan.

Muncul juga kenyataan-kenyataan kontroversi daripada pihak-pihak tertentu berhubung dengan profesionalisma guru seperti guru yang tidak bersemangat mengajar dan pelajar ponteng kerana cikgu membosankan



Isu Peperiksaan
Isu peperiksaan paling popular tahun ini tentulah mengenai pemansuhan PMR dan digantikan dengan PBSMR bermula tahun 2014. Walaupun masih belum clear sistem dan tatacara pelaksanaannya, namun diharapkan pelaksanaannya tidak menjejaskan pendidikan generasi akan datang.

Kisah pada hari keputusan UPSR juga tak kurang hebatnya. Ada kisah sedih mengenai seoranganak OKU yang dikendong oleh bapanya sampai ke rumah kerana mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR. Dan ada juga kisah yang berlebihan. Namun yang paling diingati tentulah kisah seorang tokey ayam yang menghadiahkan anaknya sebuah kereta Mini Cooper sebab dapat 5A.. Bestnya dia... 



Pada hari pertama SPM juga, kita dikejutkan dengan kisah sedih mengenai kematian 2 orang pelajar yang menjadi calon SPM. Sudah tentu kisah ini mengingatkan saya kepada mendiang pelajar saya yang tak sempat nak ambil SPM pada tahun ini kerana terlibat dalam satu kemalangan maut. 

Kisah SPM dipanaskan lagi dengan isu soalan Matematik yang dikatakan bocor. Memang hebat betul perdebatan yang berlaku kat ruangan komen di blog saya nih. Pelbagai pihak saling tuduh menuduh dan memberikan bukti masing-masing. Akhirnya Lembaga Peperiksaan muncul dengan kenyataan bahawa tidak ada isu soalan bocor. Selesai!



Isu Pertukaran Guru
Pertukaran guru juga merupakan isu yang memang sudah lama berkumandang dalam dunia pendidikan. Besarnya isu ini sehingga dimainkan sebagai antara isu utama dalam permainan politik pada tahun ini sehingga menyebabkan menteri mengeluarkan kenyataan berita baik bagi pertukaran guru-guru yang sudah berkahwin

Pertukaran juga dikatakan akan lebih bersifat mesra pasangan. Malah guru-guru semenanjung di Sabah dan Sarawak yang sudah lama berkhidmat akan cuba dibawa pulang pada tahun ini. Tak cukup dengan itu, KPM juga tampil membersihkan diri dengan menjawab dakwaan pertukaran yang menggunakan duit oleh orang tengah. 


Akhirnya apa yang berlaku?. Keputusan EGTukar lewat diumumkan lebih daripada kebiasaan. Dan pertukaran mesra pasangan seperti yang dijanjikan juga kurang boleh dipercayai. Kalau tidak masakan boleh muncul watak cikgu yang baru, iaitu Cikgu Idayu. Kisah sedih guru muda yang sangat tertekan akibat gagal dalam permohonan pertukaran. Bukan Cikgu Idayu sahaja, tetapi juga Cikgu Hailmi yang gagal permohonan pertukaran buat kali ke-10! (tumpang sekaki)


Di sebalik semua kisah kontroversi sepanjang tahun 2013 ini, saya yakin semua guru mempunyai semangat yang kental dalam mengharungi susah payah dan jerih perih kesukaran bergelar seorang cikgu! Semoga kita terus tabah dan dikurniakan dengan semangat yang tak pernah kenal erti jemu dalam mendidik anak bangsa. Amin!

PBS dikaji semula

Kerajaan memutuskan untuk mengkaji semula secara menyeluruh Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang dilaksanakan pada 2012 berikutan pelbagai aduan daripada guru.



PBS Dikaji Semula

Kajian semula PBS ini adalah bagi membolehkan Kementerian Pendidikan mengenal pasti rumusan melaksanakan PBS secara lebih berkesan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassindipetik sebagai berkata

Kalau PBS hendak dilaksanakan, kita mesti pastikan segala yang diperlukan, sama ada dari segi sistem infrastruktur, latihan dan perkara lain benar-benar difahami dan dapat beroperasi secara cekap.

Itulah sebabnya saya memutuskan kita tangguh sementara aspek memasukkan maklumat berkaitan pelajar kerana sistem pelayan (server), selain rangkaian perhubungan dan penggunaan alat merekodkan prestasi serta pencapaian pelajar tak dapat dilaksana dengan baik.

Justeru, ada keperluan untuk kita meneliti lebih lanjut. Saya minta pengalaman SMK Presint 8 (1) dijadikan bahan kajian dan minta kerjasama pengetua, selain guru untuk meneliti serta membentang lebih lanjut apa yang mereka alami selama ini untuk diperhalusi oleh kementerian, katanya.  Sumber

Antara permasalahan yang sering ditimbulkan oleh guru adalah mengenai kesukaran memasukkan maklumat ke dalam pangkalan data SPPBS. Walau bagaimanapun Kementerian Pendidikan telah menangguhkan pelaksanaan aspek itu sehingga 1 April. Namun pelaksanaan PBS masih diteruskan. 

Dalam pada itu Tan Sri Muhyidin Yasin juga memaklumkan juga bahawa keputusan akhir sama ada apa yang akan berlaku kepada PBS akan diputusakan selepas sistem dikemaskini serta dapat beroperasi dengan lancar.



Kita akan teliti perkara ini dan adakan mesyuarat selepas ini. Kalau fikir perlu dan sesuai, kita tangguhkan seketika sehingga sistem ini dilihat kemas serta boleh beroperasi secara lancar, kita akan putuskan (kemudian).

Sejak memperkenalkan PBS, kita terima pelbagai pandangan daripada guru yang meminta kerajaan teliti semasak-masaknya kaedah terbabit, katanya pada sidang media semalam.Sumber
Beliau yang juga Menteri Pendidikan, sempat mengadakan perjumpaan lebih sejam dengan pengetua dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 8(1) bagi mendengar sendiri masalah mereka berkaitan pelaksanaan PBS.

Dah tentu ini adalah tindakan yang sangat baik bagi membolehkan beliau mendapat pandangan guru dengan lebih dekat mengenai cabaran yang guru-guru terpaksa hadapi dari segi pelaksanaan, kesan terhadap pelajar dan juga penerimaan ibu bapa terhadap PBS.

Semoga kemelut yang melanda sistem pendidikan Malaysia ini dapat ditangani dengan bijaksana, tanpa perlu mengorbankan mana-mana pihak.

Thursday, February 13, 2014

CERPEN MUTIARA BONDA

SINOPSIS


Mohd. Harraz bin Lebai Sidi atau "adik" ialah dugaan besar terhadap kesabaran seorang ibu. Sebagai anak tunggal lelaki yang amat dimanjakan, kerenah adik begitu melampau. Kak Cik tidak mampu menahan tangannya daripada singga ke muka adik (antologi Harga Sebuah Lukisan, muka surat 68).

Adik langsung tidak menunjukkan kesungguhan dalam pembelajaran, bahkan bergaul dengan budak liar. Dia pernah menghempas cawan kaca hingga kaki bonda berdarah, gara-gara bonda enggan memberi RM5 seperti yang diminta. Namun, bonda tidak pernah marah, bahkan tetap mendukung adik dari tingkat atas walaupun usia adik sudah 12 tahun.

Apabila adik mahu berhenti sekolah setakat darjah 6, bonda tidak mampu menyekat. malah, usaha kakak kembar dua beradik itu, Kak Long yang belajar di Texas dan Kak Ngah di Monash, Australia juga buntu. Kesabaran Kak Cik terburai setelah adik mengungkit tentang ayah mereka yang meninggal dunia di penjara akibat fitnah.

Bonda tidak kenal putus asa. Bonda hampir selesai membaca ulang surah as-Syahid 297 kali, sedangkan Kak Cik lebih dikuasai jiwa muda yang mahu tindakan lebih keras ke atas adik. Perubahan diri adik bermula setelah dia terlibat dengan kemalangan (muka surat 70).

Adik tiba-tiba mahu menyambung persekolahan. Malah, dia berguru dengan Kak Cik untuk menduduki peperiksaan PMR. Kemudian, adik lulus sekolah pondok hingga 4 Thanawi, di samping SPM, dan tahfiz al-Quran. Adik seterusnya menyambung pengajian di Universiti al-Bayt, Jordan.

WATAK DAN PERWATAKAN


"Saya" / Kak Cik / kakak Mohd Harraz (adik) / pencerita (sudut pandangan orang pertama)
-  prihatin (terhadap susah payah bonda menghadapi kerenah adik)
-  penyayang (membantu adik belajar untuk PMR walaupun sebelumnya geram dengan sikap liar adik)
-  kurang sabar (menampar adik apabila kisah ayah mereka terpenjara diungkit oleh adik)
-  patuh / taat (kepada bonda yang selalu memberi nasihat supaya tidak bertindak melulu kepada adik)

Bonda / ibu Kak Cik dan adik / isteri Lebai Sidi
-  penyayang (tetap tidak merungut walaupun adik berkelakuan kasar)
-  penyabar (tidak pernah berhenti berharap supaya adik berubah sikap)
-  berpandangan jauh / optimis (sentiasa percaya bahawa adik akan berubah jua, maka dia sanggup bersusah payah)
-  tabah (menghadapi fitnah terhadap suami yang dipenjara)
-  cekal / gigih (mendidik anak-anak dengan penuh hikmah dan lemah lembut)
-  tegas (tidak terpengaruh dengan emosi ketika berhadapan dengan tingkah laku adik yang biadab)

Adik / Mohd Harraz / anak bongsu / anak lelaki tunggal Bonda
-  agresif / degil / keras kepala (pada awalnya tidak pernah peduli perasaan bonda dan Kak Cik)
-  berfikiran mentah / tidak matang (terlalu mengikut kata hati / pengaruh buruk / keliru dengan kes bapanya)
-  bijak (berjaya dalam masa yang singkat dengan bantuan Kak Cik, contohnya lulur PMR)
-  sedia berubah (segera meminta maaf daripada bonda selepas peristiwa kemalangan / mahu kembali belajar)
-  rajin (belajar aliran agama sambil mengambil peperiksaan awam biasa dengan bantuan Kak Cik)
-  penyayang (sentiasa mengutus surat kepada bonda ketika belajar di Universiti al-Bayt, Jordan)
-  tegas / tinggi jati diri (tidak menyentuh ganja walaupun pernah bergaul dengan kumpulan itu)

Kak Ngah / kakak kepada Kak Cik dan adik / kembar Kak Long / pelajar Universiti Monash, Australia
-  matang (menyokong cara bonda mendidik adik yang mungkin lambat, tetapi bakal berhasil)
-  pandai memujuk (menenangkan perasaan Kak Cik yang bergelora dek gelagat adik)

Kak Long / kakak kembar Kak Ngah / anak sulung Bonda / pelajar Universiti Southwestern, Texas, Amerika Syarikat
-  matang (cepat memahami cara bonda yang berlembut menghadapi tingkah laku kasar adik) 

LATAR MASYARAKAT


                          :  masyarakat ibu tunggal
                          :  masyarakat anak yatim
                          :  masyarakat pelajar sekolah / universiti
                          :  masyarakat yang prihatin
                          :  masyarakat yang sabar / tabah
                          :  masyarakat yang cekal / gigih / rajin
                          :  masyarakat yang menjadi mangsa fitnah (Lebai Sidi / suami Bonda)
                          :  masyarakat yang penyayang
                          :  masyarakat yang optimis / berpandangan jauh
                          :  masyarakat yang tegas / tinggi jati diri
                          :  masyarakat yang bijaksana / pintar
                          :  masyarakat yang agresif / degil / keras kepala
                          :  masyarakat yang berfikiran mentah / tidak matang
                          :  masyarakat yang matang
                          :  masyarakat yang pandai memujuk

NILAI

-keprihatinan, kesabaran / ketabahan, kecekalan / kegigihan / kerajinan, kasih sayang, berwawasan,

 ketegasan, kebijaksanaan, kematangan

PERSOALAN

               :  keprihatinan terhadap pengorbanan ibu
               :  kesabaran / ketabahan dalam menghadapi cabaran hidup
               :  kecekalan / kegigihan / kerajinan dalam pembelajaran
               :  kasih sayang sesama keluarga
               :  ketegasan dalam pendirian / tindakan
               :  kebijaksanaan dalam membuat keputusan
               :  kematangan dalam berfikir / menilai sesuatu tindakan